Thursday, November 12, 2009

Cerpen-Abang

Nukilan ini aku hasilkan 3 tahun yang lalu
aku letak disini tanpa sebarang editing..
sekadar berkongsi minat berkarya walau bakat tiada~

ABANG

Aku tersenyum. Mendengar cerita abang buat hatiku tercuit. Kisah abang yang dipanggil memberi ceramah motivasi di kampungnya kelakar juga. Kata abang, tidak semena-mena abang diminta beri ceramah motivasi sedangkan abang bukanlah begitu pandai bermotivasi. Namun, aku mengerti, kerana aku juga mungkin seperti penduduk kampung, kagum dengan anak jati Johor itu. Kagum dengan kehebatan dan kekentalan hatinya.

Abang empat tahun lebih tua dariku. Empat tahun bukanlah jarak yang begitu besar namun abang begitu matang berbicara. Sering menasihati aku itu dan ini. Kata abang, kalau ingin berjaya, tekadkan niat dalam hati itu betul-betul, nescaya Allah akan tolong. Segala peluang akan datang sendiri. Abang sering juga menasihati aku agar mengamalkan membaca surah Al-Waki’ah setiap hari. ‘kemudian, adik rasa lah perubahannya, rezeki adik bertambah-tambah nanti.’ Dan sehingga kini, itulah yang sering aku amalkan.

Dulu, abang belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal Industri, dan kini abang telah pun menjadi jurutera di sebuah firma kejuruteraan terkemuka di tanahair. Dalam diam, abang jadi inspirasiku. Kejayaan abang menjadi pendorong aku untuk berjaya.

Ketika aku menjadi pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, abang kerap mengunjungiku. Setiap pertemuan, aku akan membawa teman. Abang memang kelakar, sering menceritakan cerita-cerita lucu dan kadang-kadang berteka-teki dengan kami. Kadang-kadang, kami ketawa tiada henti.

Pada pertengahan perkenalan, aku tahu abang menaruh hati padaku. Namun, hati ini benar-benar telah menganggapnya sebagai abang kandung, sukar untuk diri ini menganggapnya lebih dari itu. Sedikit demi sedikit aku cuba elak diri dari abang, supaya terhakis perasaan abang. Rupanya, cara aku itu amat disedari kawan-kawan aku terutama Ain. Kata Ain, hati dia terguris melihat cara aku melayan abang.. Tidak semesra pertemuan-pertemuan sebelum itu. Sehinggakan Ain sendiri menangis di hadapanku Tatkala Ain berkata begitu, tanpa aku sedari, air mata ini juga mengalir. Bukan niat aku menyingkirkan abang, lelaki sebaik itu, patutkah aku kecewakan? Maafkan adik, abang. Bukan niat adik melukakan hati abang. Lama aku berfikir, lalu aku memberitahu ibu, untuk merungkaikan persoalan di hati. Aku masih ingat kata-kata wanita itu, kalau ingin mencari pasangan hidup, carilah lelaki yang mampu buat kita rasa bahagia dan selamat. Yang mampu membimbing kita. Hanya diri sendiri dapat memahami diri sendiri. Nasihat ibu, membuatkan aku terasa abang adalah lelaki yang terbaik dalam hidupku. Perempuan bertuah sahaja, yang mampu menambat hati abang.

Namun, semuanya telah tertulis, ketika aku pulang dari cuti semester untuk menerima cinta lelaki itu, aku menerima panggilan dari abang. ‘Abang dah bertunang, kakak-kakak abang yang aturkan. Mereka kata, abang perlukan seseorang untuk jaga makan pakai abang. Abang tak terkata apa-apa.’ Memang pada mulanya aku kecewa, namun kemudiannya aku tahu itulah yang terbaik buat abang, abang memang perlukan seorang isteri untuk menjaganya.

Aku lihat agak sukar untuk orang seperti abang menjaga diri sendiri. Memotong kuku, basuh baju, menggosok baju. Kerana itu kadang-kadang penampilan abang kurang kemas.

Pernah satu ketika dulu, abang membawa kami ke ekspo konvokesyen Universiti Putera Malaysia. Di sana, abang berjumpa dengan bakal-bakal doktor muda, dan bertanyakan tentang urat saraf yang telah mati di tangan kanan abang. Walaupun abang berpakaian sangat ringkas dan kurang kemas, namun cara percakapan abang membuatkan sekumpulan pelajar itu terpegun. Dengan berbahasa Inggeris, abang bertanya itu dan ini. Selepas abang beredar dengan ucapan terima kasih, salah seorang dari mereka bertanya aku, ‘Siapa abang tadi?’ aku hanya tersenyum lalu Ain bersuara, ‘kalian kagum bukan?’ Seminit kemudian, abang kembali dan memberikan sekeping kad kepada bakal-bakal doktor muda tadi. Mereka memandang tulisan pada kad tersebut lalu mengangguk tersenyum. Tanda mengerti kekaguman abang yang dimaksudkan Ain tadi, telahan hatiku.

Ketika abang berada di tahun kedua pengajian, abang telah terlibat dengan sebuah kemalangan jalan raya. Disebabkan nahas itu, tangan kanan abang tidak dapat berfungsi lagi. Cerita abang, semuanya jadi serba tak kena pada awalnya kerana abang terpaksa mula menggunakan tangan kiri untuk setiap aktiviti termasuk menulis. Lantas, aku teringat satu memori, di mana waktu itu aku melihat tulisan abang di atas sebuah catatan dalam kereta abang, lalu aku ketawa. ‘Tulisan abang tak cantik’, kataku jujur sambil ketawa. Bukan niatku menyindir, hakikatnya aku terlupa. Namun, jawapan abang merentap jiwaku. Itulah tulisan tercantik yang mampu abang tulis, abang kan cacat, adik lupa ke? aku terkedu.‘Maafkan adik, abang!’ kataku dalam hati.

Kata abang, selepas kemalangan itu, abang terpaksa menangguh pengajian dek kerana semangat abang telah hancur berkecai, tambahan pula abang telah pun menjadi anak yatim piatu ketika itu. Cerita abang lagi, segala-galanya berubah tatkala abang berjumpa dengan seorang wanita yang cacat seluruh anggota badan sedang berniaga di Terengganu, ketika itu abang mula sedar, ramai lagi yang lebih malang dari abang.

Ketika berjalan dan makan dengan abang, ramai yang sering kali memerhatikan abang. Mungkin kerana abang kelihatan kekok menggunakan tangan kiri. Namun, abang selamba. Mungkin, dalam hati abang, Tuhan sahaja yang tahu. Pernah juga beberapa orang menegur abang, ‘gunalah tangan kanan, tak baiklah guna tangan kiri.’ Namun, abang hanya tersenyum, kadang-kadang abang memandang muka aku, mungkin untuk memberi sedikit kekuatan pada abang, aku hanya tersenyum, tanda aku sering menyokong lelaki hebat itu.

Tetapi hari ini, lelaki hebat itu telah hilang dari diari hidupku. Perhubungan yang akrab telah pun tiada. Aku tahu abang sedang hidup bahagia dengan Kak Liza dan mungkin dengan anak-anak mereka. Bertuah abang, pensyarah muda itu memilih untuk hidup dengan abang. Ah, mereka memang sama-sama bertuah.

Kalau abang baca coretan ini, adik doakan abang bahagia dan sentiasa dirahmati Allah. Segala nasihat abang, menjadi pedoman untuk adik. Terima kasih abang, kerana beri adik peluang kenal lelaki istimewa seperti abang...



Nukilan,
Intan Izani

8 comments:

joegrimjow said...

aiyok
kisah benar ke ape ni?

mello said...

sape abg tu? terharu aku bc nukilan neh..siyes..huhu

mmg menyentuh perasaan aku..

intan izani said...

joe,
err.. cube teka?

mello,
terharu eh
aku pun terharu ko terharu
;)

Ram Z said...

intan...citer betul ni kan...?aku mcm penah bc ko ade tulis ttg abg ni dlm blog ko dulu....x jumpe lagi ke abg tu...?

din3187 said...

menarik citer awak nie...

kagum juga dengan kelebihan yang ada pada "si abg" tersebut...

Kalau ada sambungan citer menarik, rojer2 la yer...

:-)

PeJuAnG HiDup said...

tq intan. nukilan mu ni betul2 wat aku tangkap leleh. huhuhu...

-| auM Chak |- said...

eimy dpt rasa nie citer benar...sbb bila baca eimy msh igt penah bc kisah abg nie dlm posting intan awl2 dulu...huhuhu...am i rite???? ksh syg seorg adk abg lbh mengatasi dr perasaan hati....jodoh adk dan abg dlm citer nie cuma setakat adk beradik tanpa ikatan kandung.....

sukiminna said...

ak rasa dlu ko penah wat entri cari 'abang' ni kan..

xdgr apa2 berita dari dia lagi?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...